February 15, 2013
KUALA LUMPUR, 15 Feb — Ahli badan bukan kerajaan (NGO) dan individu professional di negara ini menggesa Bank Islam Malaysia Berhad supaya menarik balik penggantungan tugas yang dikenakan terhadap ketua penganalisis ekonomi institusi kewangan tersebut ekoran kenyataannya dalam satu forum di Singapura bulan lalu.
Mereka juga turut menegaskan, tindakan Bank Islam itu seumpama “menyekat kebebasan bersuara”, dan menghalang penyelidikan dan kajian dilakukan oleh Azrul Azwar Ahmad Tajudin.
Pensyarah Sosiologi Universiti Kebangsaan Malaysia Profesor Noraini Othman berkata, tindakan yang dikenakan ke atas Azrul adalah seperti menyekat kebebasan akademik kerana ketika itu beliau membentangkan tinjauan kajiannya dari sudut ekonomi.
“Tiada kebebasan akademik ... walaupun beliau bukan ahli akademik, tugasnya seperti ahli akademik ... tinjauan kajiannya,” tegas Noraini yang juga merupakan ahli NGO Sisters In Islam
Akhbar The Straits Times Singapura melaporkan, ketika pembentangan kajiannya itu, Azrul menjangka senario yang akan berlaku apabila Barisan Nasional (BN) hanya mampu memenangi 97 hingga 107 dari 222 kerusi parlimen, yang tidak cukup untuk sebuah kerajaan.
Tetapi keputusan tersebut juga bermakna Pakatan Rakyat (PR) hanya merupakan sebuah kerajaan goyah, jauh dari majoriti yang sering diterima oleh musuh politik mereka.
“Daripada apa yang dapat saya lihat, daripada pembacaan saya berdasarkan pembentangannya yang diedarkan kepada kami, ia kertas akademik,” tambah Noraini.
Sementara itu, pemimpin Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP, Zairil Khir Johari berkata, ketika pembentangan itu dibuat, beliau turut berada dalam forum berkenaan, dan menegaskan kajian Azrul itu hanyalah berasaskan sikap profesional dan perkiraan ekonomi.
“Saya memang hadir di persidangan di Singapura semasa Azrul bentangkan kertasnya. Saya rasa pendapat yang diluahkan adalah profesional dan berdasarkan perkiraan ekonometrik. Ia bukan pendapat peribadi yang tidak berasas. Maka macam mana Azrul boleh dikenakan tindakan kerana memberi analisa professional?” soalnya melalui khidmat pesanan ringkas kepada The Malaysian Insider.
“Saya tidak setuju dengan tindakan Bank Islam dan harap Azrul dapat diberi peluang yang adil untuk menjelaskan isu tersebut, katanya, dan menambah, “wujudnya kemungkinan berlakunya sekatan tertentu dalam kebebasan bersuara.”
“Bagaimana negara kita nak maju kalau analisa profesional pun disekat dan tidak dibenarkan?” tegasnya lagi.
Sementara itu, aktivis Suaram Fadiah Nadwa Fikri menegaskan tindakan yang dilaksanakan Bank Islam terhadap Azrul jelas mempunyai motif politik.
“Jelas dalam kes ini ia bermotifkan politik ... selepas beliau membuat pembentangan kajiannya dalam forun di Singapura, (yang) ia dibuat berasaskan bukti, tinjauan kajian berdasarkan fakta dan analisis. Beliau tidak seharusnya dihukum.
“Seseorang itu tidak seharusnya dihukum kerana menjalankan tugas profesionalnya ... sebab itu kita perlukan kebebasan politik di negara ini,” katanya kepada The Malaysian Insider.
Beliau menambah, “dengan menghukumnya itu menunjukkan mereka menghukum individu yang mempunyai kaitan dengan sesetengah kumpulan atau parti dan menidakkan tugas professional mereka.”
Ketiga-tiga mereka ini adalah antara rakyat Malaysia melalui 59 NGO dan 135 individu dari kalangan profesional, ahli politik, dan ahli akademik yang bersama-sama dengan Azrul menuntut penggantungannya ditarik balik.
Akhbar The Sun semalam telah mencetak iklan dengan nama-nama NGO serta ahli professional di muka surat 11 mereka bagi menyatakan sokongan secara terbuka terhadap Azrul.
Azrul yang dihubungi The Malaysian Insider mengesahkan penggantungan tugasnya masih berjalan, namun beliau enggan mengulas lanjut apabila ditanya mengenai sokongan yang diberikan kumpulan berkenaan.
Dalam pembentangannya, Azrul turut menjangkakan senario kemenangan tipis untuk BN dan kemenangan lebih besar pada PR dengan mengambil kira faktor seperti kaum dan demografik.
Beliau juga menjangkakan kemenangan tipis bagi PR, apabila pasaran saham akan jatuh kerana “kejutan” dan ketidakstabilan.
Azrul juga mengatakan akan berlakunya “sabotaj ekonomi” oleh peniaga dan pekerja awam yang bersama BN. The Malaysian Insider
0 komentar:
Posting Komentar